Cara Pengambilan Makanan Mengikut Kategori

PIRAMID MAKANAN


Cara pengambilan makanan mengikut kategori


Pemakanan yang seimbang adalah amat penting bagi seseorang tanpa mengira peringkat umur sama ada dari golongan kanak-kanak mahupun dewasa. Bagi kanak-kanak ianya sangat penting kerana menyokong keperluan kanak-kanak yang sedang membesar. Mereka memerlukan nutrien dan tenaga yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan. Bagi golongan dewasa pula, pemakanan yang seimbang amat penting kerana dapat menghindar pelbagai penyakit yang berbahaya ke atas diri kita jika kita tidak mengamalkannya. Oleh itu, setiap golongan haruslah berpandu pada piramid makanan bagi menentukan kadar kuantiti pemakanan yang harus diambil. Piramid makanan ialah satu carta yang membantu kita untuk menentukan jenis-jenis makanan yang perlu diambil dan juga sukatan makanan yang sesuai untuk kita setiap hari dan digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan yang sihat untuk kita.

Aras terakhir bagi piramid makanan adalah daripada sumber tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan kita iaitu karbohidrat. Fungsi karbohidrat ini adalah untuk menggerakkan tubuh dan membekalkan tenaga hasil daripada perpecahan karbohidrat kepada glukosa. Antara sumber karbohidrat yang bagus adalah beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang lain yang diperbuat daripada bahan-bahan ini  dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi. Kita memerlukan karborhidrat dalam kuantiti yang banyak kerana setiap hari kita menggunakan tenaga yang banyak mengikut setiap peringkat umur dan juga jantina.

Aras ketiga pula berfungsi meningkatkan sistem pertahanan badan. Kumpulan makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat ini adalah daripada sayur-sayuran dan juga buah-buahan. Antara makanan bagi sayur-sayuran ialah kobis, tomato, lobak merah, petola, sayuran berdaun hijau, manakala buah-buahan pula adalah oren, betik, pisang, tembikai, mangga, jambu batu dan sebagainya. Sesetengah orang tidak menggemari sayur-sayuran. Oleh yang sedemikian, mereka boleh mengambil buah-buahan sebagai ganti. Walau bagaimanapun, bagi mengelak perkara sedemikian terus berlaku, ibu bapa memainkan peranan dengan mengajar atau melatih anak-anak mereka menggemari sayur-sayuran daripada kecil lagi.

Daging, ikan, ayam dan kekacang pula terletak di aras kedua dalam sistem piramid makanan.
Kesemua makanan tersebut kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Seperti yang kita sedia maklum, protein berfungsi untuk membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk tumbesaran optimum. Selain itu, protein juga berfungsi untuk membina tulang dan gigi yang kuat. Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino dimana 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan. Bagi golongan kanak-kanak terutamanya, mereka sangat memerlukan protein supaya mereka mempunyai tulang dan gigi yang kuat selari dengan tumbesaran optimum.

Aras pertama sekali adalah dimana terletaknya kumpulan makanan lemak, minyak, coklat dan juga gula. Bagi aras ini, kita disarankan untyk mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit sahaja kerana setiap makanan akan mengandungi lemak, maka kita hanya memerlukan lemak dalam kuantiti yang sedikit. Fungsi lemak bagi tubuh badan kita adalah untuk mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh. Selain itu, lemak juga membekalkan tenaga, asid-asid lemak dan vitamin-vitamin larut lemak yang penting yang hanya boleh didapati daripada makanan. Sumber lazim adalah daripada minyak masak.

Kesimpulannya, kita haruslah sayang akan tubuh badan kita agar suatu masa nanti kita tidak ditimpa dengan pelbagai jenis penyakit hasil daripada pemakanan yang tidak seimbang. Berpandulah pada piramid makanan untuk mendapatkan pemakanan yang seimbang yang mengikut kuantiti yang betul bagi setiap golongan. Hidangkanlah makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid makanan tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anda.Amalkan gaya hidup yang sihat, bertindaklah sebelum terlambat. Jika kita yang tidak mengubah nasib kita, siapa lagi yang akan mengubahnya.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.