Kepentingan dan Cara untuk Memupuk Imej Tubuh yang Positif.

Kepentingan dan cara untuk memupuk imej tubuh yang positif


Kita sering dihidangkan dengan kesempurnaan di media sosial ataupun media massa.


Kesempurnaan yang dimaksudkan di sini adalah dari segi kekayaan dan bentuk tubuh

badan. Lihatlah di mana-mana media sosial seperti Instagram, Facebook dan sebagainya,

seringkali terpampang status di wall yang menunjukkan kekayaan seseorang dan

kecantikan tubuh badan mereka. Tidak dinafikan pengaruh ini membawa akibat positif

dan negatif terhadap bagaimana kita melihat imej tubuh badan kita. Oleh yang demikian

pentingnya kita membina sikap positif terhadap tubuh badan untuk kepuasan diri sendiri.


Apa definisi tubuh yang cantik bagi lelaki dan wanita? Mungkin lelaki mengatakan

definisi tubuh yang berotot, kekar dan tinggi menjadi pilihan, bagi wanita pula tubuh

yang slim atau berbentuk ‘hourglass’ yang menjadi pilihan. Tetapi jikalau seseorang itu

tidak mempunyai bentuk tubuh badan mengikut definisi tersebut, adakah mereka patut

membenci diri sendiri? Adakah patut mereka berasa rendah diri lantas mengasingkan diri?


Malangnya ramai yang memilih untuk membenci diri, dan hanya segelintir yang yakin

dengan diri. Mulai saat ini, latih diri untuk merasa yakin dengan bentuk tubuh

masing-masing kerana semua jenis tubuh sama ada kurus atau gemuk adalah satu

anugerah dan kepelbagaian yang membuatkan seseorang unik. Saya bagi satu contoh, jika

semua orang di dunia ini mempunyai bentuk tubuh yang sama; misalnya kurus. Tidakkah

anda berasa bosan melihat semua manusia mempunyai figure yang sama? Bukankah

fitrah manusia suka pada benda yang unik? Keunikan ini yang membezakan diri kita

dengan orang lain, dan keunikan juga yang membuatkan kita dikenali oleh masyarakat.


Jadi apa yang membuatkan kita merasa negatif tentang bentuk tubuh? 


Jawapannya ialah ego. Manusia suka merasa lebih hebat, lebih kacak, atau lebih pandai

dari orang lain.

Manusia suka bila orang lain mengakui kehebatannya, kecantikannya dan sebagainya.

Hal ini kerana, pujian-pujian yang datang akan membuatkan dia lebih yakin dengan diri,

tetapi apa akan jadi bila dia dihina? Rasa marah dan rendah diri akan timbul pada diri, dia

akan merasa diri tidak bernilai di mata masyarakat. Kebergantungan manusia terhadap

pujian orang lain demi untuk meningkatkan keyakinan diri adalah palsu semata-mata.

Orang lain tidak berhak untuk untuk menentukan bagaimana sepatutnya diri kita perlu

jadi.


Jadi bagaimana hendak meningkatkan keyakinan dan sikap positif terhadap tubuh badan?

Mula-mula sekali buang konsep cantik itu kurus, atau cantik itu putih. Sebenarnya tidak

perlu kurus untuk cantik kerana konsep cantik itu kurus tidak wujud. Buktinya, wanita

gemuk juga berkahwin, lelaki gemuk juga berkahwin. Bak kata pepatah Inggeris, ‘beauty

lies in the eyes of the beholder.’ kecantikan itu subjektif; ada orang yang minat kepada

wanita berbadan gempal, ada yang minat dengan lelaki atau wanita yang berkulit perang

ataupun hitam. Oleh itu, buang konsep kurus itu cantik, dan putih itu cantik untuk

bahagia.


Terlalu memikirkan apa yang orang lain fikir tentang kita adalah satu perbuatan yang

sia-sia. Tidak salah untuk menjaga badan demi kesihatan. Tetapi jika kita membeli produk

kecantikan dan kesihatan semata-mata untuk dipuji oleh orang lain; nilai diri tidak akan

terbina. Usaha yang kita buat selama ini hanyalah membina ego setinggi gunung Everest,

jika pandangan orang tidak seperti jangkaan kita; ego yang dibina tadi hancur berkecai

seperti pasir. Oleh itu, penting membina imej positif tubuh badan bermula dari diri untuk

kekal cantik dan bahagia menurut definisi sendiri, dan bukan dari pengaruh orang lain.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.